Sunday, 1 April 2012

APAKAH PANTUN?

Pantun ialah sejenis puisi Melayu yang mempunyai bentuk tertentu, iaitu pantun dua baris atau empat baris yang biasanya berpasangan antara pembayang dengan maksud. Sekiranya pantun itu serangkap empat baris, maka dua baris pertama pembayang dan dua baris kemudiannya maksud. Semua baris pantun mempunyai skema rima akhir yang berselang iaitu ab ab. Teliti contoh di bawah ini:

     Pinang muda jangan disalai                                             (rima a)
        Jika disalai isinya binasa                                              (rima b)
     Orang muda janganlah dilalai                                          (rima a)
        Jika lalai badan terseksa                                              (rima b)

Contoh pantun berkait

     Ka-yu cen-da-na di-bu-at pin-tu                                       (10 suku kata)
        Ja-di-kan ru-mah in-dah be-la-ka                                   (10 suku kata)
     Ka-lau ki-ta ban-tu mem-ban-tu                                        (  9 suku kata)
        Hi-dup se-nang o-rang pun su-ka                                   (  9 suku kata)

     *Ja-di-kan ru-mah in-dah be-la-ka                                     (pembayang yang diulang)
         = Ka-lau di-u-kir se-ba-ik mung-kin                               (pembayang baru)
     *Hi-dup se-nang o-rang pun su-ka                                      (maksud yang diulang)
         # Ja-ngan sing-kir hi-na yang mis-kin                               (maksud baru)

     = Ka-lau di-u-kir se-ba-ik mung-kin                                   (pembayang yang diulang)
           Se-dap di-pan-dang fi-ki-ran te-nang                            (pembayang baru)
     # Ja-ngan sing-kir hi-na yang mis-kin                                   (maksud yang diulang)
           = Bu-di yang ba-ik pas-ti di-ke-nang                             (maksud baru)

     Berdasarkan contoh tersebut, pantun berkait sebenarnya ialah pantun empat kerat. Setiap rangkap mempunyai suatu kaitan binaan yang saling berkait, baik dari segi pembayang mahupun dari segi maksud. Selain  perkaitan yang tersebut di atas, pantun berkait juga mempunyai tema yang sama. Di sini, kita mendapati bahawa pantun yang mempunyai jumlah baris yang banyak, sama ada enam baris serangkap atau enam belas baris serangkap, terbentuk daripada pantun empat baris serangkap juga.

Friday, 30 March 2012

PENDAHULUAN

Pantun merupakan suatu ungkapan puisi Melayu yang disukai ramai. Semenjak kecil lagi anak-anak kerap didendangkan dengan lagu-lagu yang menggunakan pantun sebagi seni katanya. Sesuai dengan jiwa kanak-kanak, pantun yang didendangkan itu merupakan pantun yang berunsur jenaka dan mengandungi nasihat serta tunjuk ajar. Bukan sahaja masyarakat Melayu yang pandai mendendangkan pantun dalam lagu-lagu seperti Dondang Sayang, malahan masyarakat Baba Peranakan pun berkebolehan menggubah pantun seperti pantun kasih sayang dan pantun budi.
     Pantun menjadi popular bukan sahaja kerana unsur keindahan bahasanya, malahan ia memain peranan sebagai wahana pemikiran bernas dan perasaan yang halus. Antara pantun yang kekal di sepanjang zaman ialah:

     (a)  Pisang emas dibawa belayar,
              Masak sebiji di atas peti,
           Hutang emas boleh dibayar,
              Hutang budi dibawa mati.

     (b)  Pulau Pandan jauh ke tengah,
              Gunung Daik bercabang tiga,
            Hancur badan dikandung tanah,
              Budi yang baik dikenang juga.

     (c)  Buah cempedak di luar pagar,
              Ambil galah tolong jolokkan,
           Saya budak baharu belajar,
              Kalau salah tolong tunjukkan.

     Aktiviti berpantun boleh digalakkan di sekolah rendah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan menajamkan pemikiran. Guru sepatutnya sentiasa berusaha untuk menjadikan suasana pengajaran-pembelajaran menarik, berkesan dan penuh dengan aktiviti. Dengan itu, pantun boleh diluaskan penggunaannya di sekolah dan seterusnya kelak akan berkembanglah penggunaannya dalam masyarakat amnya.