Friday 30 March 2012

PENDAHULUAN

Pantun merupakan suatu ungkapan puisi Melayu yang disukai ramai. Semenjak kecil lagi anak-anak kerap didendangkan dengan lagu-lagu yang menggunakan pantun sebagi seni katanya. Sesuai dengan jiwa kanak-kanak, pantun yang didendangkan itu merupakan pantun yang berunsur jenaka dan mengandungi nasihat serta tunjuk ajar. Bukan sahaja masyarakat Melayu yang pandai mendendangkan pantun dalam lagu-lagu seperti Dondang Sayang, malahan masyarakat Baba Peranakan pun berkebolehan menggubah pantun seperti pantun kasih sayang dan pantun budi.
     Pantun menjadi popular bukan sahaja kerana unsur keindahan bahasanya, malahan ia memain peranan sebagai wahana pemikiran bernas dan perasaan yang halus. Antara pantun yang kekal di sepanjang zaman ialah:

     (a)  Pisang emas dibawa belayar,
              Masak sebiji di atas peti,
           Hutang emas boleh dibayar,
              Hutang budi dibawa mati.

     (b)  Pulau Pandan jauh ke tengah,
              Gunung Daik bercabang tiga,
            Hancur badan dikandung tanah,
              Budi yang baik dikenang juga.

     (c)  Buah cempedak di luar pagar,
              Ambil galah tolong jolokkan,
           Saya budak baharu belajar,
              Kalau salah tolong tunjukkan.

     Aktiviti berpantun boleh digalakkan di sekolah rendah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa dan menajamkan pemikiran. Guru sepatutnya sentiasa berusaha untuk menjadikan suasana pengajaran-pembelajaran menarik, berkesan dan penuh dengan aktiviti. Dengan itu, pantun boleh diluaskan penggunaannya di sekolah dan seterusnya kelak akan berkembanglah penggunaannya dalam masyarakat amnya.